Abstrak
BioQuran merupakan suatu modul baru yang diperkenalkan setelah pendekatan Biodaie didedahkan kepada sebahagian daripada golongan pendidik dalam MRSM beberapa tahun yang lalu. Modul BioQuran diwujudkan bagi mengisi pencapaian objektif dalam merealisasikan pemikiran tauhidik dalam sistem pendidikan MRSM. Pemikiran Tauhidik adalah suatu pemikiran yang membawa pelajar untuk mengalami suatu pembelajaran ilmu kepada mendekati Allah sebagai Pencipta Alam. Pelajar akan melihat apa jua subjek dan bidang ilmu yang dipelajari sebagai suatu medium atau alat untuk mengenali kekuasaan Allah. Justeru itu pemikiran tauhidik yang akan diterapkan dalam sistem pendidikan di MRSM kelak akan memenuhi ‘tagline’ “keterbezaan dan memimpin” yang digunakan dalam sistem pendidikan MRSM berbanding sistem pendidikan lain di Malaysia. Untuk itu modul BioQuran dihasilkan bagi mendedahkan pelajar kepada penerangan saintifik tentang suruhan dan larangan Allah dalam Al Quran. BioQuran ialah modul yang dicadangkan hasil daripada susunan ayat-ayat Al Quran mengikut tajuk-tajuk dalam sukatan pelajaran subjek Biologi. BioQuran ini kelak juga boleh digunakan sebagai suatu ilmu pengetahuan untuk mengenali kehebatan dan kekuasaan pencitaan alam oleh Allah. Modul ini akan diterima pelajar sebagai suatu modul yang wajib dalam sistem pendidikan MRSM walaupun ada dari kalangan pelajar yang mungkin tidak memilih Biologi sebagai subjek pilihan dalam SPM. Walau apapun cara bagaimana modul BioQuran ini digunakan, semestinya kehadiran modul ini wajib memenuhi objektif utama iaitu memastikan pelajar untuk kenal lebih dekat dengan Penciptanya. Objektif lain ialah memastikan pelajar akan merasai suatu pembelajaran yang bermakna dan berkesan kepada kehidupan mereka. Pelajar juga akan mengambil Al Quran sebagai suatu sumber ilmu pengetahuan. Paling penting ialah subjek Biologi sepatutnya diterima sebagai suatu bidang ilmu yang wajib dipelajari oleh semua orang sebagai medium ilmu untuk mengenali Allah sebagai Pencipta Agung.
No comments:
Post a Comment