Wednesday, July 21, 2010

Hubungkait Bioda'ie dengan BioQuran

Pendekatan Bioda'ie dengan 3 komponen

Sesungguhnya perlaksanaan suatu pendekatan yang baik seperti BioDaie memerlukan kesungguhan dan penyusunan program yang lebih terarah dan strategik. Justeru itu Biodaie perlu berdiri di atas tiga komponen
Komponen Pertama : Pendidik
Komponen Kedua : Pelajar
Komponen Ketiga : Modul (bahan pengajaran seperti BioQuran)



Perlaksanaan BioDaie tidak akan terlaksana sekiranya ia tidak dibawa, didokong dan disokong oleh individu bernama pendidik. Pendidik ini pula perlulah diorganisasikan sebagai suatu kumpulan yang mantap. Penubuhan organisasi ini pula diharap dapat menjadi tulang belakang kepada program ini. Di antara tugasan yang terkandung dalam organisasi ini nanti ialah

i. Menyediakan modul-modul baru dan bahan yang bersesuaian dengan pengajaran
dan pembelajaran di MRSM
ii. Membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada guru-guru yang lain
iii. Menyampaikan pengisian ke setiap MRSM
iv. Menggalakkan semua MRSM untuk memberikan sepenuhnya komitmen dalam
menjayakan program ini.

Pendidik

“Kami akan membacakan (Al Qur'an) kepadamu (Muhammad) maka kamu tidak akan lupa, kecuali kalau Allah menghendaki. Sesungguhnya Dia mengetahui yang terang dan yang tersembunyi. Dan Kami akan memberi kamu taufik kepada jalan yang mudah, oleh sebab itu berikanlah peringatan karena peringatan itu bermanfaat, orang yang takut (kepada Allah) akan mendapat pelajaran,” 87:6-10

Bidang perguruan adalah merupakan satu bidang profesion tertua di dunia. Menjadi guru adalah suatu pekerjaan yang termulia. Guru berperanan memberi dan menyampaikan maklumat kepada pelajar. Memberi dan menyampaikan maklumat yang diharap dapat membawa perubahan kepada pelajar samada tingkahlaku, kepercayaan dan sikap. Malah ilmu yang berguna dapat memberikan manfaat yang besar kepada yang berilmu dan dapat pula dimanfaatkan ke atas orang lain. Guru berperanan membentuk pelajar untuk menjadi seorang warga bangsa yang berguna kepada masyarakat dan berguna kepada agama. Namun adalah sesuatu yang malang apabila kebenaran ilmu yang disampaikan guru gagal membawa pelajar untuk sampai kepada kebenaran yang mutlak iaitu tujuan asal kejadian manusia iaitu tunduk sujud kepada Allah.

“Dan dia termasuk orang-orang yang beriman dan saling berpesan untuk bersabar dan saling berpesan untuk berkasih sayang.” 90:17

Pelajar Bersahsiah Mulia

Komponen kedua ialah pelajar, bersahsiah mulia yang diharap dapat dihasilkan melalui pendekatan ini kelak. Adalah fitrah seorang guru memastikan pelajarnya menjadi seorang yang berguna dengan sentiasa menerap dan memupuk segala perlakuan positif dan baik ke dalam diri pelajar. Pada masa yang sama segala unsur berkaitan perlakuan negatif dan buruk dihindar jauh daripada pelajar. Malah seringkali ditanamkan untuk berbuat baik selalu dan berbuat jahat jangan sekali terus ke dalam sanubari diri pelajar sebagai bekal nasihat paling berguna dari guru.

Katakanlah: "Berjalanlah di (muka) bumi, maka perhatikanlah bagaimana Allah menciptakan (manusia) dari permulaannya, kemudian Allah menjadikannya sekali lagi. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. 29:20

Sebagai seorang pendidik sebenarnya secara sedar atau tidak sedar telah meletakkan diri berperanan di barisan hadapan memimpin gerombolan pejuang yang berdakwah di jalan Allah. Pendidik bukan sahaja sebagai pendakwah sebaliknya amanah pendidik yang digalas adalah guna mencorakkan strategi dan pendekatan terbaik dalam memastikan dakwah dapat sampai dengan berkesan kepada sasarannya, iaitu khususnya pelajar dan umumnya masyarakat.

Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan Al Qur'an untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pelajaran? 54:40

Sekiranya semua subjek dan semua guru bersatu hati mengembelengkan usaha untuk menghasilkan pelajar yang berkualiti dan bersahsiah mulia, maka sudah tentu natijahnya pelajar yang cemerlang daripada semua aspek dapat dihasilkan. Selanjutnya dapat melahirkan insan soleh dan solehah terutamanya yang sentiasa memperhatikan kejadian kekuasaan Allah.

Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang memperhatikan tanda-tanda. 15:75

Modul BioQuran

Komponen ketiga ialah menggunakan modul BioQuran sebagai suatu modul yang diterimapakai dalam sistem pendidikan di MRSM.
1. Penggunaan BioQuran Sebagai Modul Baru dalam sistem MRSM
2. Penggunaan BioQuran Sebagai Rujukan dalam Pengajaran dan Pembelajaran Subjek Biologi.
Keputusan SPM bagi subjek Biologi 2010 menunjukkan penurunan yang sangat ketara berbanding subjek-subjek lain terutamanya subjek seperti Fizik dan Kimia. Maka timbul persoalan apakah justifikasinya subjek biologi ini kepada semua pelajar dan ini membawa kepada keputusan untuk membenarkan hanya pelajar yang benar-benar bersedia sahaja untuk mengambil subjek biologi dalam senarai subjek untuk SPM. Sekiranya keputusan ini benar-benar terjadi, maka adalah malang bagi pelajar kerana tidak dapat menggunakan subjek biologi sebagai medium kepada mengenal Allah.

“Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segenap ufuk dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahwa Al Qur'an itu adalah benar. Dan apakah Tuhanmu tidak cukup (bagi kamu) bahwa sesungguhnya Dia menyaksikan segala sesuatu?”41:53

Namun begitu modul BioQuran harus mengambil tempat alternatif bagi mencapai tujuan dan hasrat ayat di atas bagi menyesuaikan dengan keputusan untuk membenarkan hanya segelintir pelajar sahaja mengambil subjek biologi dalam SPM. Adalah dicadangkan agar modul BioQuran ini digunakan secara khusus dan intensif semasa Kursus Kemahiran Insaniah dan Kemahiran Akademik Tingkatan 4 (KIKA).
Begitupun dicadangkan modul BioQuran perlu diwajibkan dalam pengajaran dan pembelajaran bagi pelajar yang mengambil subjek biologi SPM. Cara penggunaan modul ini bolehlah digunakan secara berperingkat mengikut topik-topik yang diajar. Begitupun cara menggunapakai BioQuran ini tidaklah begitu sukar, ini kerana BioQuran telah disusun mengikut kandungan sukatan pelajaran biologi SPM menjadikan ia sebagai modul yang mudah untuk difahami dan digunakan oleh pelajar dan guru. Modul BioQuran ini mengandungi ayat-ayat daripada kitab suci AlQuran yang menyentuh topik dalam subjek biologi. Selain itu penerangan dan huraian ayat serta keterangan saintifik bersumberkan buku teks ditampilkan agar pelajar dapat menerima modul ini kelak. Justeru itu modul BioQuran ini mempunyai lima belas bab sama seperti buku teks biologi.
Menariknya BioQuran ini ditampilkan dengan pendekatan inkuiri yang mana terdapat persoalan-persoalan yang sentiasa berkisar dalam masyarakat khususnya masyarakat Islam. Sehubungan itu pembelajaran Biologi akan menjadi lebih menarik dengan gabungan pendekatan kontekstual dan inkuiri terbimbing. Contoh persoalan yang diutarakan pula adalah seperti berikut
Persoalan 1 : Mengapa Biologi sangat penting sebagai bidang ilmu dalam Islam ?
Persoalan 2 : Bagaimana organisasi sel menjadi penting kepada organisma ?
Persoalan 3 : Mengapa tayammum digunakan untuk mengganti air ?
Persoalan 4 : Mengapa umat Islam diwajibkan puasa ?
Persoalan 5 : Bagaimana ketinggian altitud mempengaruhi respirasi ?
Persoalan 6 : Mengapa teori Darwin terhadap kejadian manusia perlu disanggah ?
Persoalan 7 : Apakah kepentingan penyembelihan haiwan kepada umat Islam ?
Persoalan 8 : Ibu atau bapakah yang menentukan jantina anak?
Persoalan 9 : Mengapa ibu diperintah menyusukan anak?

Pendidikan yang semakin mencabar kini menuntut kepada perubahan dengan penampilan pengajaran pembelajaran yang lebih sofistikated dan kreatif, lebih-lebih lagi ia perlu menyediakan pelajar untuk berhadapan dengan realiti sebenar. Namun jika subjek biologi gagal dipelajari oleh pelajar, bagaimana pelajar dapat dijamin dapat memahami dengan baik segala permasalahan dan persoalan dalam masyarakat Islam.

Tuesday, July 20, 2010

Biologi Sebagai Subjek Yang Penting

“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari ‘alaq, Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah,Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam, Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.”
96:1-5

Apabila ditanyakan kepada pelajar, mata pelajaran apakah yang mereka minati? Sudah tentu guru akan mendapati sangat kurangnya pelajar yang meminati subjek Pendidikan Islam. Jangan terkejut pula, jika ditanya subjek apakah yang antara yang ingin dipelajari sudah tentu subjek Pendidikan Islam tidak akan tersenarai kerana tidak memberikan sumbangan dalam memastikan kerjaya yang dicita-cita akan tercapai. Adakah ini generasi yang diharapkan dapat memimpin umat manusia pada masa hadapan. Kekhuatiran timbul apabila jauhnya generasi akan datang daripada berdamping dengan Al Quran.
Kini sejauhmanakah Al Quran didampingkan dekat pada pelajar dan bagaimana dan siapakah yang dapat membantu pelajar dekat pada Al Quran. Guru antara insan ‘mursyid’ (pembimbing) kepada pelajar juga terkadangkala terjauh daripada Al Quran apatah lagi menjadikan Al Quran hidangan dan santapan utama kepada jiwa pelajar.
Sesungguhnya ayat yang pertama iqra’ ialah satu bentuk suruhan dan arahan kepada Rasulullah untuk membaca dan umumnya kepada umat Islam untuk membaca atau maksud lain memerintahkan umat Islam untuk melibatkan diri dalam pencarian ilmu. Ilmu apakah yang telah diperintahkan Allah untuk dicari dan diteroka umat Islam? “dengan nama Tuhanmu yang menciptakan,” membawa pengertian untuk dicari lmu yang dapat membawa kepada mengenal Allah iaitu Tuhan yang berkuasa menciptakan manusia.
Perkara yang seharusnya diteliti di sini ialah bidang ilmu apakah yang telah diperintahkan Allah untuk dipelajari? Sebenarnya daripada pengertian ayat di atas dapat disimpulkan ilmu tauhid adalah ilmu yang mendahului ilmu lain dalam membawa manusia mengenali Penciptanya. Subjek Pendidikan Islamlah subjek yang sepatutnya didedahkan lebih banyak oleh guru kepada pelajar.
Subjek kedua ialah merujuk kepada ayat “Dia telah menjadikan kamu daripada ‘alaq’.” Perkataan ‘alaq’ adalah satu perkataan yang selama ini sentiasa difahami dengan maksud ‘segumpal darah’ dalam tafsiran bahasa melayu padahal ia sebenarnya membawa maksud ‘lintah’. Tiada sesiapa pun tahu mengapa lintah dikaitkan dengan penciptaan awal manusia sehinggalah apabila kajian sains mendapati objek berbentuk lintah yang melekat pada dinding rahim. Persoalannya mengapakah ‘alaq’ dipilih Allah dalam ayat pertama diwahyukan kepada Rasulullah, ayat yang menyuruh umat manusia mencari ilmu. Tujuan ayat ini ialah supaya manusia mencari jawapan kepada penciptaan manusia menerusi bidang ilmu sains, dan bidang yang dapat membawa manusia untuk mengenali kejadian manusia ialah subjek biologi.

“Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segenap ufuk dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahwa Al Qur'an itu adalah benar. Dan apakah Tuhanmu tidak cukup (bagi kamu) bahwa sesungguhnya Dia menyaksikan segala sesuatu?”41:53

Bagi mengingatkan umat yang lain akan kebenaran Al Quran, maka Allah telah menegaskan melalui penciptaan alam dan juga melalui penciptaan manusia itu sendiri. Jelaslah bidang biologi mampu mendekatkan insan yang dahagakan ilmu kepada Penciptanya. Maka apakah kita selaku makhluk Allah mempunyai banyak pilihan yang lain untuk kita kenal dengan Pencipta (Allah). Allah menggalakkan manusia mencari jawapan dan maklumat tentang segala kejadian alam. Malah Allah membuka segala kejadian alam untuk ditunjukkan kekuasaanNya bagi diteroka oleh manusia. Begitupun Allah telah menegaskan bahawa kekuasaan Allah dapat juga dilihat pada diri manusia itu sendiri. Semua kejadian hasil daripada kekuasaan Allah guna untuk menunjukkan kebenaran Al Quran.

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.”95 :4

Makhluk manusia merupakan kejadian yang diciptakan Allah dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kejadian manusia yang seimbang dan sempurna mengatasi penciptaan makhluk yang lain. Keistimewaan yang diberikan Allah ini malangnya hanya sedikit sahaja yang menghargai dan lebih menyedihkan umat Islam seolah-olah lupa dengan keistimewaan penciptaan diri sehingga sanggup mempergunakan kelebihan yang ada untuk tujuan mengengkari Allah pula.

“Yang membuat segala sesuatu yang Dia ciptakan sebaik-baiknya dan Yang memulai penciptaan manusia dari tanah. Kemudian Dia menjadikan keturunannya dari saripati air yang hina (air mani). Kemudian Dia menyempurnakan dan meniupkan ke dalam (tubuh) nya roh (ciptaan) -Nya dan Dia menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati; (tetapi) kamu sedikit sekali bersyukur.”32:7-9

Walaupun dikurniakan Allah dengan deria yang mampu memberi pedoman guna mengharungi cabaran dan ujian dunia, ditambah pula dengan akal yang bijak, jelas manusia seolah-olah khayal dan lupa kepada nikmat yang diberikan. Maka sewajibnya ada pendekatan lain yang berusaha membawa masyarakat kembali mendekati Allah.

“Sesungguhnya (ayat-ayat) ini adalah suatu peringatan, maka barang siapa menghendaki (kebaikan bagi dirinya) niscaya dia mengambil jalan kepada Tuhannya.” 76:29

Rasulullah s.a.w. sendiri telah berusaha membawa peringatan dengan pelbagai bentuk dan pendekatan. Dengan risalah indah yang dibawa oleh Rasulullah masih ramai lagi yang sengaja membutakan mata dan hati mereka dari menerima seruan Ilahi. Malahan sanggup menahan deria dari menerima kebenaran melalui alam ciptaan Allah.

“Dan sesungguhnya Al Qur'an itu benar-benar suatu pelajaran bagi orang-orang yang bertakwa.” 69:48

Begitupun Al Quran jualah ibu kepada segala kitab pengetahuan yang ada. Sehinggakan segala perumpamaan dapat dihubungkan bagi menjelaskan sebarang kekusutan dan kemusykilan dalam mencari ilmu. Al Quran didatangkan dengan pelbagai analogi, namun tidak semua analogi dapat ditangkap isi pelajaran yang dimaksudkan Allah. Justeru itu hanya yang benar-benar inginkan jawapan sahaja yang dapat melihat Al Quran daripada pelbagai sudut ilmu.

“Sesungguhnya telah Kami buatkan bagi manusia dalam Al Qur'an ini setiap macam perumpamaan supaya mereka dapat pelajaran. “39:27

Jelasnya Bioquran hanya mampu dapat dimanfaatkan oleh mereka yang benar-benar menjadikan Al Quran pendamping diri mereka. Biarpun apa jua bukti dan keterangan yang disampaikan melalui Al Quran namun ilmu dan pengetahuan tetap perlu diteroka dan dicari. Pencarian ilmu dan pengetahuan berdasarkan kepada kajian dan eksperimen akan menjadi lebih bermakna dengan panduan Al Quran.

“Sesungguhnya telah datang dari Tuhanmu bukti-bukti yang terang; maka Barang siapa melihat (kebenaran itu), maka (manfaatnya) bagi dirinya sendiri; dan barang siapa buta (tidak melihat kebenaran itu), maka kemudaratannya kembali kepadanya. Dan aku (Muhammad) sekali-kali bukanlah pemelihara(mu).”6:104

Justeru itu tiada alasan untuk memisahkan Al Quran dengan pengetahuan saintifik yang mementingkan kepada bukti dan hipotesis yang sahih.

Bangsa Cemerlang, Umat Gemilang

Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.” 3 :110

Sebagai seorang hamba kepada Allah s.w.t dan umat Nabi Muhammad s.a.w. kita bertanggungjawab sedaya upaya menegakkan syiar Islam yang berakar sebagai akidah kita. Adakah mungkin kita boleh diiktiraf sebagai umat Nabi Muhammad jika tidak atas kegigihan, kesungguhan dan kesabaran baginda memastikan usaha dakwah sampai kepada sekalian umat manusia. Risalah Allah yang dibawa Nabi Muhammad seterusnya disambung oleh sahabat-sahabat baginda dan pendakwah dan seterusnya sampai jua ke seluruh pelusuk dunia. Adakah cukup untuk kita merasakan usaha dakwah ini hanya dipikulkan ke atas orang tertentu sahaja?
Seringkali kita sama ada sengaja atau tidak sengaja menginterpretasikan tugas dakwah hanya terpikul atas pihak yang tertentu sahaja. Salah faham sebegini seharusnya segera diperbetulkan kerana sebagai seorang manusia yang mengakui diri umat Nabi Muhammad (saw) seharusnya menjadikan segala perkataan, perbuatan dan pemikiran Rasulullah sebagai ikutan utama. Rasulullah telah menampilkan suatu peristiwa bersejarah bagaimana satu bangsa arab yang suatu ketika berada dalam jahiliyah namun berjaya diangkat sehingga terbina satu tamadun Islam yang agung. Lebih menakjubkan tamadun inilah yang seterusnya mengubah langsung lanskap peradaban dunia dengan nilai- nilai akhlak mulia dipertahan dan diperteguhkan.
Umat Islam diberikan pengiktirafan sebagai umat yang terbaik oleh Allah kerana cirri-cirinya yang menyeru kepada kebaikan, menegah dari kemungkaran dan beriman kepada Allah. Tiga ciri-ciri ini yang menjadikan dakwah sebagai medium seterusnya telah digugat perlaksanaan perjalanan oleh sesetengah pihak lebih-lebih lagi yang inginkan kehancuran umat Islam. Oleh itu umat Islam kini melihat suatu gerakan dakwah sebagai suatu entiti atau elemen yang tiada kena mengena dengan Islam dan seterusnya memisahkan Islam dari dakwah. Natijahnya, Islam diasingkan daripada kehidupan, daripada pekerjaan, daripada bidang ilmu, daripada perniagaan dan daripada pentadbiran sesebuah negara.
Justeru itu sampailah masanya kita umat Islam memandang serius masalah ini dan mula mencari ruang dan peluang untuk kembali mengajak umat Islam kembali mengamalkan Islam sebagai cara hidup untuk kembali mengangkat Tamadun Islam yang cemerlang dan gemilang.

Katakanlah (hai Muhammad): "Aku tidak meminta upah sedikit pun kepadamu atas dakwahku; dan bukanlah aku termasuk orang-orang yang mengada-adakan. 38:86

PENDIDIK ADALAH PENDAKWAH

“Kami akan membacakan (Al Qur'an) kepadamu (Muhammad) maka kamu tidak akan lupa, kecuali kalau Allah menghendaki. Sesungguhnya Dia mengetahui yang terang dan yang tersembunyi. Dan Kami akan memberi kamu taufik kepada jalan yang mudah, oleh sebab itu berikanlah peringatan karena peringatan itu bermanfaat, orang yang takut (kepada Allah) akan mendapat pelajaran,” 87:6-10

Bidang perguruan adalah merupakan satu bidang profesion tertua di dunia. Menjadi guru adalah suatu pekerjaan yang termulia. Guru berperanan memberi dan menyampaikan maklumat kepada pelajar. Memberi dan menyampaikan maklumat yang diharap dapat membawa perubahan kepada pelajar samada tingkahlaku, kepercayaan dan sikap. Malah ilmu yang berguna dapat memberikan manfaat yang besar kepada yang berilmu dan dapat pula dimanfaatkan ke atas orang lain. Guru berperanan membentuk pelajar untuk menjadi seorang warga bangsa yang berguna kepada masyarakat dan berguna kepada agama. Namun adalah sesuatu yang malang apabila kebenaran ilmu yang disampaikan guru gagal membawa pelajar untuk sampai kepada kebenaran yang mutlak iaitu tujuan asal kejadian manusia iaitu tunduk sujud kepada Allah.

Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.” 3 :110

Sebagai seorang hamba kepada Allah s.w.t dan umat Nabi Muhammad s.a.w. kita bertanggungjawab sedaya upaya menegakkan syiar Islam yang berakar sebagai akidah kita. Adakah mungkin kita boleh diiktiraf sebagai umat Nabi Muhammad jika tidak atas kegigihan, kesungguhan dan kesabaran baginda memastikan usaha dakwah sampai kepada sekalian umat manusia. Risalah Allah yang dibawa Nabi Muhammad seterusnya disambung oleh sahabat-sahabat baginda dan pendakwah dan seterusnya sampai jua ke seluruh pelusuk dunia. Adakah cukup untuk kita merasakan usaha dakwah ini hanya dipikulkan ke atas orang tertentu sahaja?


“Dan dia termasuk orang-orang yang beriman dan saling berpesan untuk bersabar dan saling berpesan untuk berkasih sayang.” 90:17
Adalah fitrah seorang guru memastikan pelajarnya menjadi seorang yang berguna dengan sentiasa menerap dan memupuk segala perlakuan positif dan baik ke dalam diri pelajar. Pada masa yang sama segala unsur berkaitan perlakuan negatif dan buruk dihindar jauh daripada pelajar. Malah seringkali ditanamkan untuk berbuat baik selalu dan berbuat jahat jangan sekali terus ke dalam sanubari diri pelajar sebagai bekal nasihat paling berguna dari guru.

Katakanlah: "Berjalanlah di (muka) bumi, maka perhatikanlah bagaimana Allah menciptakan (manusia) dari permulaannya, kemudian Allah menjadikannya sekali lagi. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. 29:20

Sebagai seorang pendidik sebenarnya secara sedar atau tidak sedar telah meletakkan diri berperanan di barisan hadapan memimpin gerombolan pejuang yang berdakwah di jalan Allah. Pendidik bukan sahaja sebagai pendakwah sebaliknya amanah pendidik yang digalas adalah guna mencorakkan strategi dan pendekatan terbaik dalam memastikan dakwah dapat sampai dengan berkesan kepada sasarannya, iaitu masyarakat.

Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan Al Qur'an untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pelajaran? 54:40

Dua panduan, guna memastikan masyarakat dan umat dapat dibimbing telahpun disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. Dua panduan iaitu Al Quran dan Hadis ibarat lampu petunjuk kepada pendakwah untuk membantu membawa umat manusia ke jalan yang dirahmati dan diredhai Allah. Malah Allah telah pun mencabar sekiranya ada manusia yang jauh lebih baik daripada hamba Allah yang bergelar pendakwah. Dan siapakah yang lebih baik pendekatannya berbanding pendakwah? Sudah tentulah guru merupakan insan terpaling istimewa dengan tuturcara dan tingkahlaku yang boleh diteladan oleh pelajar.
Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri?" 41:33

Katakanlah (hai Muhammad): "Aku tidak meminta upah sedikit pun kepadamu atas dakwahku; dan bukanlah aku termasuk orang-orang yang mengada-adakan. 38:86

“Dan sesungguhnya telah Kami buat dalam Al Qur'an ini segala macam perumpamaan untuk manusia. Dan sesungguhnya jika kamu membawa kepada mereka suatu ayat, pastilah orang-orang yang kafir itu akan berkata: "Kamu tidak lain hanyalah orang-orang yang membuat kepalsuan belaka". Demikianlah Allah mengunci mati hati orang-orang yang tidak (mau) memahami." 30:58-60