Tuesday, July 20, 2010

Bangsa Cemerlang, Umat Gemilang

Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.” 3 :110

Sebagai seorang hamba kepada Allah s.w.t dan umat Nabi Muhammad s.a.w. kita bertanggungjawab sedaya upaya menegakkan syiar Islam yang berakar sebagai akidah kita. Adakah mungkin kita boleh diiktiraf sebagai umat Nabi Muhammad jika tidak atas kegigihan, kesungguhan dan kesabaran baginda memastikan usaha dakwah sampai kepada sekalian umat manusia. Risalah Allah yang dibawa Nabi Muhammad seterusnya disambung oleh sahabat-sahabat baginda dan pendakwah dan seterusnya sampai jua ke seluruh pelusuk dunia. Adakah cukup untuk kita merasakan usaha dakwah ini hanya dipikulkan ke atas orang tertentu sahaja?
Seringkali kita sama ada sengaja atau tidak sengaja menginterpretasikan tugas dakwah hanya terpikul atas pihak yang tertentu sahaja. Salah faham sebegini seharusnya segera diperbetulkan kerana sebagai seorang manusia yang mengakui diri umat Nabi Muhammad (saw) seharusnya menjadikan segala perkataan, perbuatan dan pemikiran Rasulullah sebagai ikutan utama. Rasulullah telah menampilkan suatu peristiwa bersejarah bagaimana satu bangsa arab yang suatu ketika berada dalam jahiliyah namun berjaya diangkat sehingga terbina satu tamadun Islam yang agung. Lebih menakjubkan tamadun inilah yang seterusnya mengubah langsung lanskap peradaban dunia dengan nilai- nilai akhlak mulia dipertahan dan diperteguhkan.
Umat Islam diberikan pengiktirafan sebagai umat yang terbaik oleh Allah kerana cirri-cirinya yang menyeru kepada kebaikan, menegah dari kemungkaran dan beriman kepada Allah. Tiga ciri-ciri ini yang menjadikan dakwah sebagai medium seterusnya telah digugat perlaksanaan perjalanan oleh sesetengah pihak lebih-lebih lagi yang inginkan kehancuran umat Islam. Oleh itu umat Islam kini melihat suatu gerakan dakwah sebagai suatu entiti atau elemen yang tiada kena mengena dengan Islam dan seterusnya memisahkan Islam dari dakwah. Natijahnya, Islam diasingkan daripada kehidupan, daripada pekerjaan, daripada bidang ilmu, daripada perniagaan dan daripada pentadbiran sesebuah negara.
Justeru itu sampailah masanya kita umat Islam memandang serius masalah ini dan mula mencari ruang dan peluang untuk kembali mengajak umat Islam kembali mengamalkan Islam sebagai cara hidup untuk kembali mengangkat Tamadun Islam yang cemerlang dan gemilang.

Katakanlah (hai Muhammad): "Aku tidak meminta upah sedikit pun kepadamu atas dakwahku; dan bukanlah aku termasuk orang-orang yang mengada-adakan. 38:86

No comments:

Post a Comment